Ketika aku berjalan
Poem of Mr. Suratman Markasan – A Guest of Amran dan Hussien
Ketika aku berjalan di tengah hutan kelam
tidak kutemui sesiapapun melainkan tumbuh-tumbuhan kusam
yang tinggi memuncak yang rendah mengakar
tiba-tiba kudengar dari telinga-hatiku
Tahukah engkau tumbuh-tumbuhan itu makhluk serupamu?
Tumbuh-tumbuhan itu hidup seperti kamu
ia perlu makan ia perlu minum
Aku tahu kerana aku belajar ilmu sains
Tahukah engkau asal-mula pakaian yang menutupi tubuhmu?
Daripada benang
Dan benang itu asal-mulanya dari mana?
Daripada kapas
Lalu kapas itu asal-mulanya dari mana pula?
Pasti daripada tumbuh-tumbuhan
Akhirnya tumbuh-tumbuhan itu siapa yang menciptanya?
Aku mengingat-ingat pelajaran sainsku
Tentang benda hidup dan benda mati
persenyawaan antara debu jantan dan debu betina kata hatiku
Sama seperti lahirnya engkau balas telinga-hatiku
daripada percantuman mani ibu-ayahmu!
Bagaimana akar tumbuh-tumbuhan itu
menyampaikan makanan ke seluruh batang dahan ranting dan daun?
Soal telinga-hatiku
Aku teringat akan guru makrifatullah berkata
apakah akan kau rujuk ilmu sainsmu juga?
Aku diam membisu
Semuanya tidak berlaku seperti terjadinya begitu saja
seperti makanan yang engkau makan itu
dihadamkan oleh organ di dalam tubuhmu
Ada suatu kuasa ajaib yang menatanya
Dia itu Al Baari’u Sang Maha Penata
Yang Menjadikan Yang Mewujudkan Yang Merupakan
Dia menata proses makanan tumbuh-tumbuhan
dan makanan di dalam usus-perutmu
kerana di balik semua mahkluk ciptaan-Nya itu ada dzat-Nya!
Teringat lagi seru guru makrifatullahku
Aku bergerak menyusur sungai
suaranya berderau geraknya menyasar tak pernah sepi
seperti sang sufi berzikir ketika berkhalwat pasti
sedarkah kau air itu diturunkan oleh-Nya seru telinga-hatiku
lalu menyusur ke sungai-sungai memecah batu
menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan menyenangkanmu!
Jadi apa yang kamu lihat menerusi mata kasarmu
gedung kenderaan manusia haiwan tumbuh-tumbuhan dan segala apa juga
bayangkanlah di dalam mata-hatimu semuanya itu
Dzat Allah yang ada di sisinya jua
kerana semuanya itu adalah ciptaan-Nya
Sesuailah Allah menurunkan firman-Nya
Ke mana saja kau mengadap di situlah Wajah Allah!
18 Rabiul Akhir 1430
14 April 2009
Woodlands Avenue One
Written by: guest of amran and hussien | Category: poetry | 1 comment | Leave a comment
September 4th, 2009 at 6:10 pm
Tahniah Pak Suratman, teruskan usahamu yang murni ini.